Haiku ialah suatu bentuk puisi yang asalnya dari negeri Jepun tetapi kini diminati diseluruh dunia. Peraturan menulisnya agak ketat seperti juga pantun Melayu.
Tema
Biasanya tema Haiku ialah alam semulajadi. Kalau ada pun komen atau pendapat ianya tersirat. Mengikut tradisi ia terhad kepada gambaran hasil pemerhatian keatas sifat sesuatu benda, tempat atau keadaan dan penceritaan menegnai kejadian kecil yang sedang berlaku. Tetapi bolehlah dipanjangkan kepada perkara yang didengar atau suasana yang alami. Perkara yang hendak diceritakan pun hanyalah yang berada dipersekitaran yang biasa. Namun, saya rasa ia sesuai juga untuk menggambarkan perilaku insan. Bagaimanapun (seperti yang ditetapkan oleh peraturan Haiku), ia sekadar penceritaan tanpa komen.
Unkapannya tidak perlu diperjelaskan tetapi tidak pula kabur. Kalau ada pun apa apa maksud ia tidak dizahirkan secara langsung tetapi dibiarkan untuk diandaikan oleh pembaca atau pendengar.
Subjek Haiku agak sama dengan pembayang maksud Pantun Melayu umpamanya
Terang bulan bintang berjajar
Ombak memukul ke pantai landai
Jikalau adik rajin belajar
Nanti besar menjadi pandai.
Oh bulan, mana bintang
Atas pucuk kayu ara
Oh tuan, mana hilang?
Balik dapur, atas para
Namun, menyatakan maksud seperti didalam pantun (dua baris terakhir) adalah dilarang.
Struktur
Satu rangkap Haiku ditulis dalam tiga frasa (tidak semestinya ayat). Dalam bahasa Jepun ketiga frasa ini ditulis dalam satu baris menegak. Namun bila ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris kebiasaannya satu rangkap Haiku ditulis dalam tiga baris. Haiku tidak mewajibkan penghujung baris mempunyai rima (bunyi yang sama). Yang dititikberatkan ialah bilangan sukukata bagi setiap baris. Bentuk Haiku menjurus kepada menyatakan sesuatu dengan ayat yang pendek, kemas sambil memberi peluang kepada pembaca untuk menghayati maksudnya secara peribadi.
Haiku Jepun klasik menghadkan bilangan sukukata bagi setiap frasa seperti berikut,
Frasa pertama 5 sukukata
Frasa kedua 7 sukukata
Frasa ketiga 5 sukukata
Jadi bilangan sukukata semuanya berjumlah 17 sukukata.
Struktur Dalam Bahasa Melayu
Pada asasnya, perkataan yang digunakan perlu ringkas, mengajak pembaca atau pendengar menggunakan imaginasi sendiri, sekadar menghayati keadaan bukan mencari apa apa maksud.
Peraturan mengenai jumlah sukukata yang ketat hanya boleh dipraktikkan jika Haiku ditulis dalam bahasa Jepun, Cina atau Korea kerana suatu maksud atau perkataan mungkin mengandungi satu sukukata sahaja. Memandangkan perkataan dalam bahasa Melayu kerap kali mempunyai banyak sukukata, bilangan sukukata 5 atau 7 agak terlalu pendek dan tidak cukup untuk menulis ungkapan yang bermakna. Bagi saya, (setelah mencuba membina frasa sesingkat mungkin) setiap baris kerapkali perlu mengandungi 5-10 sukukata. Namun elok diteruskan tradisi menetapkan baris pertama dan ketiga lebih pendek dari baris kedua. Rahsia memilih kata yang padat terletak pada mengelakkan penggunaan imbuhan yang berlebihan. Kadangkala ungkapannya terasa agak janggal (bagi kita yang biasa dengan bahasa Melayu moden), namun jika diambilkira yang bahasa pertuturan harian biasanya tidak menggunakan banyak imbuhan, barulah keenakan Haiku dapat dinikmati.
Aturan Kandungan
Haiku traditisional mengandungi apa yang disebut sebagai “kigo” suatu perkataan atau frasa yang membayangkan musim atau perbezaan keadaan alam, kehidupan dan tumbuhan (saijiki). Contohnya seperti dalam Haiku oleh Bashō:
- “Hujan sejuk pertama
- monyet bagai mahukan
- baju jerami”
“Hujan sejuk pertama” membayangkan permulaan musim sejuk. (Pada zaman dahulu di Jepun, baju hujan dibuat dari jerami). Namun bagi kita di Malaysia selain dari musim angin monsun timur-laut dan barat-daya serta musim hujan dan kemarau, perubahan musim tidaklah berbeza sangat. Oleh itu bagi saya perubahan dalam sehari dari pagi hingga larut malam boleh digunakan juga untuk menggantikan “musim”. Tujuannya ialah melengkapkan senario dari segi masa selain tempat dan kejadian.
Saya cuba menepati kehendak ini dalam Haiku tulisan saya berikut:
“Padi bunting (4)
Daun berdesir ditiup bayu, (10)
Di air jernih sepat bermain (9)”
Musim disini digambarkan oleh padi bunting. Tetapi, bila saya menulis dalam bahasa Inggeris saya tuliskan begini pula:
“Sunny afternoon (5)
Young padi, rustling leaves, (7)
In clear water, Gouramis play (9)”
Dalam versi ini musim digantikan dengan masa.
Tradisi menulis bayangan mengenai musim merupakan ciri Haiku yang elok diikuti, namun keperluan menulis pada pada baris pertama kadangkala menghalang kelancaran penceritaan. Bagi saya tidak salah diletak dibaris kedua atau ketiga.
Pemisahan Dua Perkara
Walaupun ditulis dalam tiga baris, Haiku yang baik mengandungi perceritaan mengenai gandingan dua perkara yang bersangkut paut tetapi tidak semestinya beriringan malah lebih dihargai jika perbezaan itu agak tidak semena-mena. Dua bahagian ini dipisahkan oleh frasa yang membezakan antara keduanya yang disebut sebagai kireji. Dalam bahasa Melayu frasa yang mungkin boleh dianggap sebagai pemisah termasuklah kah?, di, ketika, bila dsb. Namun penggunaan tanda bacaan sudah mencukupi.
Contoh Haiku Yang Tidak Menurut Peraturan
Ketika ini terdapat Haiku yang ditulis tanpa menghayati falsafah asasnya. Lihat haiku dibawah sebagai contoh.
“HAIKU ANAK BANGSA
Anak bangsa ku,
padam bara hatimu,
sedingin salju.
Bahasa kita
Bahasa Melayu
Daulatkanlah
Bahasa kita
Lingua franca
Di Nusantara”
Puisi ini mungkin menyerupai Haiku dari segi kepatuhan kepada struktur namun tema dan aturan kandungan gagal menghayati natijah Haiku. Tidak wajar menggunakan Haiku untuk melontar sesuatu pendapat atau pesanan, mahupun untuk meniupkan semangat.
https://www.youtube.com//watch?v=0-DrO9ZERss
Terimakasih atas penerangan
LikeLike